(from http://drmaza.com/ )
Mufti Perlis jawab isu kemuka empat orang saksi kes liwat
Posted on Jul 07, 2008 under Isu Semasa, Berita |Oleh ZIEMAN
PETALING JAYA: Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin jelas bercanggah pendapat dengan Mufti Perak, Dato Harussani Zakaria dalam kes orang yang menuduh dirinya diliwat mesti mengemukakan empat orang saksi dan jika gagal boleh disebat 80 kali.
“Mereka ini keliru antara seseorang yang mendakwa orang lain melakukan zina dengan orang yang mendakwa dirinya dirogol dan diliwat,” kata Dr Asri.
“Jika disamakan kaedah ini bererti mangsa-mangsa rogol dan liwat kena datangkan empat orang saksi dan kalau gagal berbuat demikian, mereka akan disebat 80 kali. Inikah Islam yang mereka faham?
“Kesalahan memahami hukum beginilah yang akan mengelirukan umat Islam? Jika ini yang ditonjolkan pada masyarakat, maka orang akan anggap Islam itu zalim,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Dr. Asri meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan supaya ‘bermubahalah’ atau bersumpah.
Beliau berkata isu liwat itu kini sudah menjadi semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.
Katanya, Anwar dan Mohd Saiful hendaklah bersumpah laknat iaitu dengan melafazkan sumpah: “Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya, laknat Allah kepada saya.”
Cadangan Dr Asri tidak dipersetujui oleh Dr Harussani yang berpendapat Ketua Umum Pakatan Rakyat itu tidak perlu bersumpah atau bermubahalah.
Ini kerana, menurut Dr Harussani, isu liwat itu terletak dalam bab jenayah (kazaf) dan orang yang menuduh (Saiful) mesti membawa saksi sebagaimana yang disyaratkan dalam kanun jenayah syariah, jika dia gagal, dia boleh dikenakan hukuman 80 sebatan.
Dr Asri pula berkata, “Sebenarnya seseorang yang mendakwa dirogol atau diliwat boleh menguatkan kes dan tidak semestinya mengemukakan empat orang saksi saja. Pendakwa boleh mengemukakan qarinah (bukti atau apa saja yang berkaitan) untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Dr Asri bertanya, adakah mungkin selepas ini pihak-pihak berkenaan akan mencadangkan supaya wanita-wanita yang membuat aduan menjadi mangsa rogol datuk, bapa, atau orang lain kena membawa empat orang saksi dan disabit 80 sebatan rotan.
“Dapatkah dicari empat orang saksi beriman? Di mana pula di dunia ini ada orang yang dirogol disaksikan empat orang saksi beriman dan saksi-saksi itu pula akan hanya melihat saja tanpa melarang perbuatan itu?,” tanyanya lagi.
Cadangan bermubahalah yang pernah disuarakan oleh Dr Asri tempoh hari jelas mengundang pelbagai reaksi dari ulamak dan ahli politik.
Dr Harussani tegas berkata yang Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah kerana katanya ia tidak menepati undang-undang Islam.
Kata beliau lagi, kes isu liwat yang membabitkan Anwar adalah perkara yang menjatuhkan maruah dan tidak timbul soal perlunya orang yang mendakwa atau tertuduh untuk bersumpah.
Kata Dr Asri, selepas bermubahalah (bersumpah) tidak bermakna orang itu tidak akan dihadap ke mahkamah.
“Mubahalah lain, prosedur mahkamah lain. Mubahalah timbul akibat ada pihak yang tak percaya pada sistem kehakiman, percaya ada komplot, bila masyarakat tidak mempercayai satu sama lain, bila saksi dianggap palsu, mahkamah pula tidak boleh dipercayai.
“Daripada terus berbalah antara satu sama lain dan membiarkan keadaan berterusan dan tuduh menuduh, elok didatangkan bermubahalah. Satu jalan penyelesaian untuk tidak terus berbalah,” kata Dr Asri.
Ketika diminta mengulas kenyataan Dr Harussani yang mengatakan cadangan bermubahalah itu datangnya orang yang terlebih pandai, Dr Asri hanya berkata, “hasad itu tidak baik.”
0 comments:
Post a Comment